Monday, April 12, 2010



PEMBUANGAN BAYI

Kes pembuangan bayi bukanlah fenomena yang luar biasa di negara kita dewasa ini. Kejadian pembuangan bayi merupakan perkara yang sering didengari atau dibaca di dada-dada akhbar mahupun menjadi topik perbincangan hangat di kedai kopi oleh pakcik-pakcik yang merasa tidak senang duduk dengan isu yang dibincangkan. Bayangkanlah seorang yang tidak berdosa seperti kain putih yang suci dibuang tidak ubah seperti sampah yang tiada guna. Isu ini bukanlah sekadar isu yang boleh dibicarakan di bibir setiap individu di negara kita. Isu ini melibatkan kemanusian, agama dan maruah yang kian tercalar saban hari akibat nafsu serakah segelintir manusia yang hanya mementingkan diri sendiri.
Mengikut peradaban Islam hal ini sewajarnya dipandang serius kerana ia melibatkan “nasab” atau keturunan. Sekiranya kita mahu melihat perkara ini dibendung melalui penguatkuasaan undang-undang, memandangkan majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama Islam kita harus memantapkan undang-undang syariah yang sedia ada. Ini adalah kerana undang-undang syariah yang sedia ada dilihat amat lemah dalam menangani gejala maksiat amnya dan gejala pembuangan bayi khasnya. Dalam erti kata pemantapan undang-undang syariah yang sedia ada, hukuman denda dalam bentuk kewangan yang bersifat kesedaran yang sementara digantikan dengan hukuman yang setimpal seperti yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah S.A.W. Tambahan lagi hukuman syariah yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah ini telah pun dipraktikkan di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan dikenali dengan Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Punca utama berlakunya gejala pembuangan bayi adalah zina atau seks tanpa nikah yang begitu tidak terkawal di negara kita. Zina menjadi “trend” atau gaya hidup golongan muda-mudi di kampus atau di tempat kerja kerana terpengaruh dengan budaya kuning yang menjadi ikutan dan panduan anak-anak muda masa kini. Pembuangan bayi ini dapat dinatijahkan sebagai keberkatan yang telah diberikan oleh Allah ditarik kerana tiada perasaan kasih sayang terhadap makhluk. Ini berlaku kerana kebejatan dan kerosakan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia sendiri. Kita telah diberikan panduan untuk melakukan hubungan seks dengan cara yang sah iaitu melalui perkahwinan namun mereka memilih untuk melakukannya dengan cara haram dan apa yang telah berlaku, bayi tidak berdosa ibarat kain putih dibuang sebegitu sahaja. Nafsu syahwat telah mengatasi segalanya dan menyebabkan seseorang individu itu hilang pertimbangan. Selain itu juga, hantaran yang mahal mengikut cara VIP atau artis berkahwin merupakan antara faktor mengapa zina berlaku. Pada masa yang sama, kehidupan berpandukan material semata-mata telah menguasai masyarakat kita dewasa ini. Hanya pemantapan Undang-undang Syariah dari segi perkahwinan harus diselaraskan melalui nilai hantaran yang tidak melampui batas dan prosedur yang menyenangkan kedua-dua mempelai.
Kesimpulannya, Undang-undang Syariah wajib diperkasakan bagi membendung gejala pembuangan bayi daripada terus berlaku. Sehubungan itu, bagi merealisasikan perkara ini kita sebagai umat Islam harus kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang telah terbukti berkesan dalam menangani permasalahan seperti ini. Justeru semua pihak merangkumi kerajaan dan pihak berkuasa haruslah melakukan anjakan paradigma kerana tidak boleh dinafikan lagi Al-Quran dan Sunnah terbukti berkesan pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka serta Zaman Pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W.

0 comments:

Post a Comment

Disclaimer

All data and information provided on this site is partial fulfillment of the requirements for the subject of Thinking and Writing Strategies (LIB 401), Faculty of Communication and Media Studies,Mara University Of Technology. Live Your Life makes no representations as to accuracy, completeness, currentness, suitability, or validity of any information on this site and will not be liable for any errors, omissions, or delays in this information or any losses, injuries, or damages arising from its display or use. All information is provided on an as-is basis and for educational purposes only.